Sepuluh tahun terakhir abad ke-20 adalah era yang khas bagi persatuan penulis nasional ini. Sejumlah kegiatan menarik berlaku di bawah pentadbiran baru PENA pada tahun-tahun 90-an. Pada tahun 1994 telah dianjurkan "Persidangan Penulis Se-Asia 1991" secara besar-besaran dengan membawa tema pokok "Peranan pPenilis dalam Peradaban Asia Masa Depan". Nama-nama besar dari golongan cendiakawan, pengarang dan politik Asia diundang untuk berucap di persidangan ini. Wacana besar ini memperlihatkan sikap terbuka PENA untuk berdialog dengan dunia universal meskipun dasar perjuangan kebangsaannya berlandaskan bahasa dan kebudayaan Melayu.
Sebagai sebuah persatuan yang tidak mempunyai sumber kewangan tetap dan banyak bergantung kepada derma luar, PENA selalu menumpang di sana sini bagi urusan pentadbirannya. Hanya mulai tahun 1997 PENA diberikan sebuah rumah kerajaan yang cukup besar dan menarik kawasannnya di Jalan Dewan Bahasa. Setelah diperbaiki maka mulailah PENA beroperasi secara tetap di sini. Banyak sekali kegiatan penulisan, ceramah dan malah latihan-latihan teater dan juga seni tampak berlangsung di rumah PENA. Maka jadilah rumah ini tempat bakat-bakat baru dan lama berdialog, berkarya, bereksperimen dan hidup dalam berkesenian. Yang penting juga ialah berlakunya interaksi antara pencipta-pencipta berlainan lapangan seperti antara sasterawan dengan pengarca dan pelukis. Kiranya inilah pertembungan produktif yang bermakna di tengah-tengah kesibukan metropolitan, Kuala Lumpur.
Suatu program "Malam Baca Puisi PENA" telah berl;angsung setiap malam Jumaat pertama setiap bulan, sejak tahun 1998. Acara ini diadakan di ruang terbuka, dihalaman PENA secara santai dan bebas bagi memperluas penyertaan terutama daripada ganerasi muda. Malam Baca Puisi PENA ini telah menjadi satu tradisi dan model yang diikuti oleh kelompok-kelompok lain di Kuala Lumpur dan juga di negeri-negeri.
"Dialog Pinggir PENA adalah suatu wacana yang penting supaya penulis-penulis
yang sedang naik dapat menilai dan mengkaji mutu fikiran serta kreativiti mereka"
Setiap bulan juga diadakan dialog dan perbincangan (Dialog Pinggir PENA) di kalangan penulis-penulis muda pada hari Ssabtu sebelah pagi dan petang. Ini adalah suatu acara wacana yang penting supaya penulis-penulis yang sedang naik dapat menilai dan mengkaji mutu fikiran serta kreativiti mereka. Bukan sahaja kritikan sastera yang menjadi pokok perbahasan, tetapi isu-isu kreatif serta intelektual juga menjadi topik dialog.
Pucuk pimpinan PENA zaman 90-an ini memberikan banyak perhatian untuk meningkatkan kerja-kerja menghasilkan karya kerana akhirnya yang akan menjadi warisan bangsa ialah karya-karya bermutu itu sendiri. Justeru itu ia menaruh banyak harapan kepada potensi yang ada pada ganerasi muda yang sangat cergas sekarang. Sehingga dalam jawatankuasa kerja PENA pun diperhatikan supaya adanaya penglibatan pengamal-pengamal sastera yang terdiri daripada golongan muda untuk bersama menentukan hala tuju PENA.
Dalam masalah kebudayaan dan yang menyangkut kehidupan penulis, PENA selalu mengambil langkah-langkah segera bagi memperjuangkan kepentingan masyarakat pencipta. Sejak zaman awalnya fikiran dan cadangan-cadangan yang khas serta dicatat dalam bentuk memoranda bagi dikaji oleh pihak berkuasa supaya dapat dijadikan dasar dan dilaksanakan. Selain daripada pelbagai memoranda tentang hadiah sastera, PENA juga mengeluarkan memoranda tentang pelaksanaan Bahasa Kebangsaan dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan; tentang Pengajian Melayu di Universiti Malaya, dan tentang percukaian serta loyalti. Dari tahun 1992 hingga tahun 2004 sahaja sekurang-kurangnya enam memoranda penting dikeluarkan oleh PENA.
0 comments:
Post a Comment